Hadiah Teragung Daripada Allah. Peristiwa Isra Mikraj, Perjalanan Keajaiban Dan Keimanan

  • Bagikan
isra


Hadiah Teragung Daripada Allah. Peristiwa Isra Mikraj, Perjalanan Keajaiban Dan Keimanan

Peristiwa agung Isra’ Mikraj yang berlaku pada malam 27 Rejab merupakan satu mukjizat besar bagi umat Islam, kerana ketika itulah baginda Rasulullah SAW menerima perintah oleh Allah SWT untuk mengerjakan solat lima waktu sehari semalam. Pensyariatan itu diturunkan secara langsung oleh Allah SWT kepada baginda tanpa adanya perantaraan Malaikat Jibril.

Perjalanan baginda Rasulullah SAW dari Masjidil Haram di Kota Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin merupakan suatu kisah yang tidak masuk akal bagi mereka yang menggunakan logik pemikiran semata. Namun, tidak ada yang mustahil bagi Allah Yang Maha Berkuasa. Jika Dia mengkehendaki sesuatu, maka ia pasti terjadi. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT :

Terjemahan: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari, dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Isra’ 17: 1)

وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَى (١٣) عِنْدَ سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى (١٤) عِنْدَهَا جَنَّةُ الْمَأْوَى (١٥)

Terjemahan: “Dan demi sesungguhnya (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, di sisi Sidratul Muntaha (iaitu pada malam Mikrajnya), di mana di sisi Sidratul Muntaha itu terletak Syurga Jannatul Makwa.”

(Surah al-Najm 53: 13-15)

Hadiah Teragung Daripada Allah

Isra’ Mikraj merupakan hadiah daripada Allah SWT kepada Rasulullah SAW atas kesedihan yang baginda hadapi. Sebelum terjadinya peristiwa ini, Rasulullah SAW telah menghadapi pelbagai ujian yang sangat berat terutamanya baginda berhadapan dengan tentangan hebat dalam usaha dakwah. Antaranya baginda diusir dan ditolak oleh penduduk di kota Taif. Selain itu, Rasulullah SAW juga kehilangan dua insan yang sangat penting dalam hidupnya iaitu isteri kesayangan baginda, Siti Khadijah r.a. serta bapa saudara yang banyak membantu baginda di dalam perjuangan sebaran dakwah iaitu Abu Talib.

Baca Juga  Dulu Pernah Bergaduh Besar, Zynakal Sebak Kongsi Moment Pengebumian Ibu

Terdapat pelbagai hikmah dan pengajaran yang boleh kita ambil daripada peristiwa ini, antaranya:

  • Tiada yang mustahil bagi Allah SWT bagi setiap yang berlaku.
  • Perkara ghaib yang wajib diyakini dan dipercayai sebagai umat Islam.
  • Ketinggian darjat Nabi Muhammad SAW di sisi Allah SWT yang tidak pernah berlaku oleh sesiapa pun selain baginda.
  • Betapa pentingnya ibadah solat lima waktu yang telah diperintahkan Allah SWT secara langsung kepada Nabi Muhammad SAW.
  • Kasih sayang Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya dengan mengurangkan jumlah 50 waktu solat sehari semalam kepada 5 waktu sahaja tetapi tetap mengekalkan ganjarannya.

Semoga dengan perkongsian ini dapat mengukuhkan pengetahuan, keyakinan dan keimanan kita terhadap peristiwa Isra’ Mikraj dan dapat mengambil ibrah dari peristiwa ini untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

Sumber:ustazah Asma

Apa kata anda?Dah baca sila share,like dan komen ya.Terima kasih



Source link

  • Bagikan