Terkesan Dengan Penularan Pandemik Covid-19, Bakal Doktor Tidak Malu Jual Ikan Kering

[ad_1]

Terkesan Dengan Penularan Pandemik Covid-19, Bakal Doktor Tidak Malu Jual Ikan Kering

Kuala Lumpur: Terkesan dengan penularan pandemik Covid-19, pemegang sarjana dalam jurusan ekonomi nekad memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Usahanya membawa produk hasil laut Langkawi berupa isi ikan kembung sejuk beku, ikan kering, keropok ikan dan ikan bilis ke ibu kota nyata menarik minat pengguna di Lembah Klang hingga mampu menjana pendapatan lumayan.

Noor Aida Noh, 36, berkata, dia yang dalam proses menamatkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di sebuah universiti awam di utara tanah air mula menceburi perniagaan itu sejak dua bulan lalu. “PhD saya dalam bidang sama (ekonomi) insya-Allah akan siap tidak lama lagi. Saya bercita-cita untuk menjadi pensyarah tetapi faham kesan pandemik yang berlaku di Malaysia dan seluruh dunia menyebabkan ekonomi mengalami kemelesetan. Hasrat untuk mencapai cita-cita itu ketika ini agak sukar kerana semua sektor terjejas termasuklah bidang pendidikan.

“Jadi, saya memulakan perniagaan kecil-kecilan ini dibantu adik, Noor Aqilah. Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan walaupun baru dua bulan berjinak dalam bidang ini,” katanya kepada Harian Metro. Menurutnya, dia berharap orang ramai yang terjejas dengan pandemik Covid-19 tidak putus asa terutamanya mereka yang sudah atau bakal bergelar graduan.

“Zaman sekarang ini kita tidak lagi boleh memilih pekerjaan biarpun setinggi mana pendidikan kita. Sebaliknya perlu memanfaatkan peluang yang ada termasuklah ledakan perniagaan e-dagang. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,” katanya. Mengulas lanjut mengenai perniagaannya itu, Noor Aida berkata, dia mempunyai ejen yang terdiri daripada rakan-rakan yang turut memasarkan produk keluarannya yang dinamakan Hassan Hasil Laut Langkawi.

“Kita ada ejen di Shah Alam, Kajang, Putrajaya, Cheras, Selayang dan Gombak. Kita juga sedang mencari ejen lain di sekitar Lembah Klang terutamanya di kawasan Puchong, Petaling Jaya dan Subang Jaya. Kami mencari mereka yang komited dan individu yang mahu mengubah nasib untuk menambahkan pendapatan terutamanya penuntut universiti dan ibu tunggal,” katanya yang berhasrat meluaskan perniagaannya itu ke seluruh negara pada masa depan.

Katanya, antara produk yang mendapat sambutan ramai seperti isi ikan kembung sejuk beku dan ikan kering talang padi. “Kita sangat titik beratkan kebersihan dalam penghasilannya. Ia dihasilkan dari kilang di Ulu Melaka, Langkawi yang juga milik seorang muslim, bumiputera dan Islam.

“Proses nak hasilkan isi ikan kembung (sejuk beku) kita akan siang, buang perut, sebelum dibasuh. Ikan kemudiannya dimesinkan untuk diasingkan tulang dan isi. Ini demi memastikan kebersihan dan kualiti isi ikan itu terjamin,” katanya mereka yang berminat mendapatkan maklumat lanjut bolehlah melayari FB pages Hassan Hasil Laut Langkawi atau hubunginya di talian 0146311057.

Sumber:hmetro

Apa kata anda?Dah baca sila share,like dan komen ya.Terima kasih

[ad_2]

Source link