|Sifar jangkitan dalam negara, kali pertama sejak 2 Mac.

Hari ini, Malaysia kali pertama mencatatkan sifar kes jangkitan baru dalam negara sejak 2 Mac.

Setakat tengah hari tadi, hanya satu kes import Covid-19 baru, melibatkan individu yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Individu itu sudah diasingkan dan kini sedang mendapatkan rawatan.

Ini menjadikan jumlah kes Covid-19 terkumpul yang dicatatkan adalah sebanyak 8,640 kes kes.

Dalam sidang media petang ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata seramai 21 lagi dilapor sembuh menjadikan jumlah keseluruhan pulih daripada wabak itu ialah 8,375.

Perkembangan ini menjadikan jumlah kes aktif Covid-19 di Malaysia ialah 144 kes.

Empat pesakit kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Noor Hisham juga hari ini memaklumkan bahawa buat hari ke-13 berturut-turut, tiada kematian baru dilaporkan, menjadikan jumlah korban akibat Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 121 kes.

Kata Noor Hisham lagi, buat pertama kalinya, pada hari ini, Malaysia mencatatkan kes harian Covid-19 yang terendah sepanjang gelombang kedua pandemik wabak itu.

Malah, katanya, kes harian Covid-19 di kalangan rakyat Malaysia (iaitu yang mendapat jangkitan di dalam negara) didapati sejajar dengan unjuran kes harian dalam pemodelan dan ramalan pada 21 Mei oleh Institut Kesihatan Negara (NIH), KKM.